Adab dan Cara Menyambut Kelahiran Anak Dalam Islam
- Membersihkan/memandikan bayi
Sesudah sahaja bayi baru dilahirkan, maka adalah diperlukan untuk
membersihkan/dimandikan bayi itu dengan betul dan baik agar posisi bayi
itu bersih dan sihat. Selalunya amanah membersihkan bayi yang baru lahir
itu adalah dibawah tanggungjawab jururawat,bidan,bapa anak atau mereka
yang penyayang serta pengasih kepada bayi serta berkebolehan
meyempurnakan tugasan itu. Bayi yang sudah dibesihkan perlulah
dililit/dipakaikan dengan kain tuala yang bersih dan lembut sebaiknya
berwarna putih.
- Azan dan Iqamat
Sunat untuk diazan dan diiqamat bayi sesudah kelahirannya. Cara-caranya;
bayi hendaklah dipegang dengan menghadap ke arah kiblat. Azankan pada
telinga kanannya dahulu dan kemudian barulah diiqamatkan pada telinga
kiri bayi. Serta disunatkan juga membaca ayat-ayat suci Al-Quran pada
bayi tersebut.Bacaan tidak perlulah dibaca terlalu kuat cukup sekadar
memperdengarkan bacaan pada bayi sahaja. Salah satu hikmah melakukannya
adalah supaya kalimat seruan tersebut tentang kebesaran Allah menjadi
seruan pertama yang bayi dengar.
- Tahnik
Sunat 'Tahnik' selepas anak dilahirkan. Tahnik adalah amalan memindahkan
benda yang manis seperti kurma kepada lidah bayi yang baru dilahirkan.
Kalau tidak ada kurma, boleh digantikan dengan makanan lain yang manis
seperti madu dan sebagainya. Ia dilakukan dengan meletakkan kurma yang
lembut di hujung jari. Kemudian gerakkan jari tersebut ke dalam mulut
bayi ke kiri dan ke kanan sehingga ia meliputi mulut bayi tersebut
dengan kurma tadi. Tujuannya adalah untuk melazimkan bayi membuka mulut
dengan mendapatkan ganjaran benda manis. Amalan ini membuatkan bayi mahu
menghisap apabila ibu menyusukan bayi tersebut kerana sentuhan di lidah
mempunyai kesan manis dan bukan kesan yang tidak menyelesakan. Selain
itu, tujuan lain adalah untuk melancarkan percakapan anak kecil selain
mengetengahkan anak kecil itu agar kelak selalu berkata manis dan benar.
- Memberikan nama
Sunat memberikan nama yang mempunyai makna yang baik kepada anak sebagai
tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam. Nama
yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil
adalah doa yang dapat mempengaruhi keperibadian anak tersebut. Menamakan
anak boleh dilakukan pada hari pertama kelahiran sesudah bayi itu
diazan dan diiqamatkan atau pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai.
- Menggunting rambut (bercukur)
Sunat menggunting rambut (tahallul kecil) bagi anak yang baru
dilahirkan. Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiran,
kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan
pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau
sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu:
dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya,
menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang
meliputi kulit kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan
ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran.
Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah
disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya.
Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada
melakukan Qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan
meninggalkan sebahagian yang lain.
Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan
sifat keadilan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. di mana manusia
diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri.
Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala
dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang
zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala
akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut.
- Aqiqah
Sunat "Aqiqah" bagi anak baru lahir.Aqiqah yang membawa maksud
penyembelihan binatang ternakan seperti lembu,kerbau,unta ataupun
kambing yang dilakukan selepas kelahiran bayi sebagai tanda kesyukuran
kepada Allah Taala. Hukum aqiqah ialah sunat muakkad iaitu sunat yang
sangat digalakkan bagi yang berkemampuan. Melaksanakannya adalah
tanggungjawab ibu bapa atau penjaga bayi tersebut. Ia boleh dilakukan
pada bila-bila masa sahaja sejak anak dilahirkan tanpa sebarang tempoh
masa. Ia lebih baik dilakukan pada hari ke-7, ke-14 atau ke-21. Aqiqah
untuk anak lelaki ialah 2 ekor kambing atau dua bahagian lembu. Untuk
anak perempuan pula kadarnya ialah seekor kambing atau satu bahagian
lembu (seekor lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian).
- Berkhatan
Perkara ini menjadi sunat kepada anak perempuan dan merupakan suatu
kewajipan bagi lelaki. Berkhatan ialah memotong selaput kulit yang
menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang
tumbuh dalam faraj perempuan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah
bersabda yang bermaksud: “ kebersihan itu lima perkara: berkhatan,
mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut
bulu ketiak” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hukum berkhatan: terdapat perbezaan pendapat,
a) menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Hasan al-Basri bahawa berkhatan itu sunat hukumnya.
b) Manakala menurut Imam Syafie, Imam Malik dan setengahnya yang lain
mengatakan khatan hukumnya adalah wajib. Mereka mengeluarkan hukum
berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ sesiapa yang menganut Islam, hendaklah ia berkhatan sekalipun ia dari golongan dewasa”
Manakala waktu berkhatan pula, kebanyakan ulama berpendapat bahawa
berkhatan itu mula diwajibkan bilamana umur kanak-kanak hampir usia
baligh. Ini kerana memudahkan bagi mereka menunaikan tanggungjawab hukum
syarak yang ditetapkan ke atas mereka apabila baligh kelak. Tetapi
berkhatan adalah lebih afdhal dilakukan pada hari pertama dilahirkan.
Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “ Baginda
Rasulullah s.a.w melaksanakan aqiqah untuk Hasan dan Husin serta
mengkhatankan keduanya dalam tempuh tujuh hari ( dari hari kelahiran)”.
(Riwayat Al-Baihaqi). Tujuan berkhatan adalah untuk menjaga kesucian
zahir dan batin umat manusia. Para saintis moden telah menggalakkan
khatan kepada semua umat manusia bagi membendung masalah jangkitan
penyakit kelamin yang merbahaya seperti HIV dan AIDS.
*Sumber:
1. Bab Adat Resam Kelahiran: Kaum Melayu, Buku Kerja Program Integrasi
Keagamaan, Program Latihan Khidmat Negara Malaysia; Edisi kedua 2008,
m/s 33-35
sumber :Cara-cara & Perkara Sunat dalam Menyambut Bayi Mengikut Islam
No comments:
Post a Comment