ADA orang menyatakan idea mewujudkan kilang kereta di tengah bandar hanyalah satu mimpi dan tidak akan jadi kenyataan. Namun, idea ‘gila’ itu sudah terbukti menjadi kenyataan dan kini sudah hampir sedekad kilang seumpama itu beroperasi di Dresden, Jerman.
Kilang yang digelar Die Gläserne Manufaktur dalam bahasa Jerman atau ‘transparent factory’ (kilang telus) itu adalah inisiatif dan kebanggaan Volkswagen yang diinspirasi daripada latar belakang lokasi kilang dibina, Dresden - sebuah bandar berusia 800 tahun yang terkenal dengan seni dan kraftangan unggul.
Pembinaan kilang itu juga suatu bukti kepada dunia sebagai syarikat pengeluar kereta terkemuka, Volkswagen masih tetap mementingkan usaha memelihara alam sekitar dengan mengenepikan persepsi lapuk bahawa industri permotoran sebagai pembawa kemusnahan bumi.
Malah, Pengerusi Lembaga Penyeliaan AG Volkswagen, Prof Dr Ferdinad L Piech menganggap pembinaan kilang telus itu sebagai satu karya agung yang merangkumi seni bina, logistik yang bijak dan gabungan industri konvensional dengan pembuatan kenderaan tradisi.
Dibina dengan kos 186 juta Euro (RM754 juta), kilang yang terletak di tengah nadi bandar Dresden seluas 300,000 kaki persegi itu, berjiran dengan taman botani terbesar, Grosser Garten iaitu kira-kira 10 minit berjalan kaki dari pekan lama bandar berkenaan yang penuh dengan tinggalan sejarahnya.
Tampil dengan seni bina moden, kilang yang dibina dengan 27,500 meter persegi kaca itu adalah rekaan arkitek terkenal Jerman, Prof Gunter Henn yang juga anak kelahiran Dresden serta pereka Autostadt iaitu Bandar Raya Kereta di Wolfsburg, Jerman.
Hampir keseluruhan dinding dibina dengan kaca manakala lantainya menggunakan kayu maple Kanada dianggap sebagai rekaan berani yang mahu menggabungkan teknologi dengan budaya setempat serta peneraju seni penemuan baru dengan pengeluaran kenderaan.
Rekaan kilang juga mengambil kira kehendak pelanggan yang sentiasa mahu mengetahui secara dekat produk yang dikeluarkan selain mahu melihat sendiri cara pembuatnya. Maka kilang telus dihasilkan dekat dengan setiap pengunjung yang mana mereka boleh melihat secara terus pembuatan kereta sehingga ia siap untuk dipasarkan.
Dengan keluasan kawasan 83,000 meter persegi, kilang yang mengamalkan sikap telus kepada pelanggan dan pengunjung itu, dilengkapi dengan satu menara yang menempatkan pameran kereta yang sudah dibeli pelanggan setinggi 40 meter dan mampu memuatkan kira-kira 280 kereta dalam satu masa.
Selain kawasan pemasangan kereta, kilang itu turut dilengkapi bangunan pejabat, ruang pameran kereta, restoran, bilik tempahan kereta, ruang audio visual, kedai cenderamata dan ruang persembahan kebudayaan.
Menariknya, kilang lutsinar berkenaan dibina khusus bagi pembinaan kereta mewah terbesar Phaeton selain Toureg dan Passat CC. Setiap hari kilang ini mengeluarkan 56 kereta yang kebanyakannya Phaeton.
Dresden memang sinonim dengan pembuatan kereta terutama Phaeton kerana ia tempat kelahiran kereta mewah berkenaan. Malah pada 1900 bandar berkenaan menjadi tempat pembuatan badan kereta pertama di Jerman melalui syarikat Carl Heinrich Glaser.
Bagi mereka yang mahu membeli kereta idaman, khususnya ketiga-tiga jenis kereta berkenaan boleh membuat tempahan selain memilih warna, aksesori, sistem bunyi serta kemasan mengikut cita rasa masing-masing.
Bangunan megah yang mula dibuka pada 2002 itu menyediakan bilik khusus untuk pembeli memilih warna, kemasan, aksesori dan sistem audio dan visual untuk kereta masing-masing yang semuanya diletakkan dalam bilik khas dengan hiasan dalaman moden yang mengagumkan.
Apa saja warna, jenis kemasan kayu mahupun gentian kaca, fabrik, aksesori seperti rim dan kerusi urut, sistem audio visual kenderaan dan sistem keselamatan kereta boleh dipilih atau ditempah khas. Apa saja terlintas difikir pelanggan akan dilayan mengikut kemampuan dan kreativiti pereka rekaan, arkitek dan jurutera Volkswagen. Pelanggan hanya sediakan wang mencukupi bagi memastikan impian mereka dapat direalisasikan.
Pada dasarnya, Transparent Factory dibina bagi mendekatkan diri pembeli kereta dengan cara pembuatan kereta. Pelanggan dapat melihat secara dekat dan terus atau kala hanya dipisahkan dinding kaca, cara pemasangan komponen termasuk pemasangan tingkap, aksesori dan enjin.
Malah, dikatakan seorang pembeli yang menempah kereta Phaeton pernah menghabiskan masa seawal jam enam pagi selama tiga hari berturut-turut di kilang itu untuk melihat sendiri keretanya dipasang. Apabila di sedari pengurusan kilang, pelanggan itu diberikan peluang untuk menurunkan tandatangannya di dalam kereta sebagai identiti khusus keretanya.
Paling menarik proses penyerahan kereta yang siap dibina kepada pelanggan juga dilakukan dalam bilik khas dengan cara simbolik seperti pelancaran kereta baru di pasaran. Ia dilakukan dalam bilik tertutup khusus untuk pelanggan.
Satu lagi menarik mengenai kilang ini, ia tidak nampak seperti kilang konvensional lain yang comot, kotor, sesak serta bising. Selain senyap, kilang ini juga bersih seperti pemandangan biasa dalam pejabat selain kebanyakan kerja dilakukan dengan bantuan robot manakala sistem pengangkutan kargo menggunakan perkhidmatan kargo keretapi elektrik (tram kargo) selain lori kontena.
Bagi memastikan kilang ini tidak sesak dan bising, pengangkutan kargo diatur dengan baik manakala bangunan mempunyai sistem kalis bunyi dan jentera yang kurang bunyi.
Sesuai dengan lokasi yang terletak di tengah bandar, maka kilang telus ini mengendalikan pemasangan kereta peringkat akhir saja. Semua proses yang mengeluarkan bau, operasi kilang yang bising, seperti kimpalan dan kerja mengecat dan mengetuk hanya dilakukan di Zwickau daerah yang terletak tidak jauh dari Dresden.
Setiap badan kereta yang sudah siap dicat tiba di kilang dengan lori kontena manakala 1,200 bahagian lain dan 34 komponen khas dihantar ke pusat logistik dari kilang khas kira-kira tiga batu jauhnya dari Dresden menggunakan tram kargo yang menggunakan laluan atau trek kereta api elektrik awam bandar berkenaan.
Sistem memindahkan kereta siap pasang ke kawasan pemasangan dilakukan lif khas dan pengangkut yang bergerak pada kadar yang sangat perlahan. Malah, untuk menyiapkan setiap kereta tiada had masa khusus ditetapkan kepada setiap pekerja. Seseorang pekerja itu bebas melakukan kerja mengikut kemampuan mereka, kerana aspek kualiti diutamakan bukan masa atau kuantiti.
Kira-kira 800 pekerja bertugas Transparent Factory dengan 500 pekerja khusus untuk kawasan pemasangan kereta yang bekerja untuk dua syif satu pagi dan satu lagi petang.
Pelanggan dilayan bagai Raja di Transparent Factory dan tiada rahsia cuba di selindung di sebalik pembuatan. Malah, kilang ini menegaskan mereka percaya tidak akan berlaku sabotaj jika mereka mendedahkan kepada umum cara pembuatan kereta.
Malah, mereka tidak gentar dengan kemungkinan pendedahan proses pembuatan kereta itu memberi risiko idea dan cara kerja mereka terdedah kepada pesaing. Volkswagen menyatakan mereka tahu dengan keupayaan, kemampuan dan kekuatan diri sendiri serta tidak takut kepada pesaing mereka.
Kemudahan pintar, mesra alam
Transparent Factory bukan berfungsi sebagai kilang dan pusat pameran kereta Volkswagen semata-mata, fungsinya kini pelbagai dengan nilai estetika kepada kawasan sekitar. Malah ia dikatakan menjadi denyut nadi baru Dresden.
Transparent Factory kini menjadi tarikan pelancongan baru di Dresden selain pusat pendidikan dan kebudayaan. Dengan keluasan keluasan lantai 15,000 meter persegi, ia mampu lebih 1,000 tetamu untuk persembahan termasuk teater, konsert, pameran lukisan malah pelancaran produk baru.
Setiap tahun juga Transparent Factory menjadi sebahagian tempat acara perkelahan klasik yang diadakan di taman botani Grosser Garten. Di sini dianjurkan konsert terbuka untuk pelbagai jenis muzik klasik tempatan. Pada konsert ini juga pemuzik jalanan turut dijemput membuat persembahan.
Tidak terhad kepada pelanggan Volkswagen atau Phaeton saja, Tranparent Factory juga terbuka kepada sesiapa yang berminat melawatnya dan cuma dikenakan bayaran RM20.30 (5 Euro). Dianggarkan setiap hari kira-kira 500 pelawat akan mengunjungi kilang ini.
Sejak dibuka, 80 peratus pelanggan kereta Volkswagen terutama Phaeton mengunjungi Dresden untuk melawat kilang atau menerima kereta yang ditempah mereka. Manakala dicatatkan kira-kira 100,000 pelawat melawat kilang itu setiap tahun dengan tahun lalu menyaksikan jumlah pengunjung meningkat hingga 30 peratus.
Malah, kilang berkenaan kini menjadi salah satu tarikan baru dalam kalendar pelancongan Dresden dan Saxony.
Pembinaan kilang ini pada mulanya tidak begitu disukai penduduk setempat lebih-lebih lagi Dresden dianggap kawasan bandar yang kaya dengan tinggalan sejarahnya serta sinonim sebagai kebudayaan dan kesenian membuat seramik yang dianggap emas putih penduduk setempat.
Arkitek Transparent Factory dikatakan turut turun padang menerangkan mengenai rekaannya dan memberi jaminan bahawa kilang itu tidak seperti kilang pembuatan kereta lain yang mengeluarkan bunyi bising serta menambahkan kesesakan di bandar kelahirannya itu.
Ia mengambil masa dan kesabaran bagi membolehkan penduduk tempatan yakin bahawa pembinaan kilang itu adalah satu idea yang baik.
Bagi Volkswagen, pembinaan kilang itu adalah satu metafora ketelusan mereka dan menjadikan organisasi itu benar-benar boleh dipercayai dan menjadi tulang belakang bandar Dresden dan Jerman secara umumnya.
Bakal menyambut ulang tahun ke-10 Disember ini, Transparent Factory dianggap satu ruang pengeluaran kereta yang paling cantik, mewah, eksklusif dan berfungsi dalam dunia automotif dunia.
Mengambil kira lokasinya yang terletak di kawasan hijau dan jantung bandar Dresden, maka pembinaan kilang ini mengambil kira banyak aspek pemeliharaan alam sekitar. Arkitek memasukkan elemen hijau dan air dengan menanam rumput di bahagian depan kilang. Manakala tasik buatan dibina yang suatu perlambangan bahawa kilang itu adalah gabungan ciptaan manusia dengan keindahan alam.
Ia juga direka dengan pencahayaan, pengudaraan dan sistem penghawa dingin yang mesra alam serta menjimatkan tenaga. Malah, ia juga mengamalkan konsep seni bina yang memastikan kedalaman bangunan rendah dan wujud zon besar supaya tidak menjejaskan air bawah tanah.
Seluruh kawasan luar bangunan dilengkapi sistem bunyi seperti suara burung bagi mengelakkan burung mendekati dinding kaca bangunan kilang manakala lampu nyahcas khas natrium yang mengeluarkan cahaya kuning digunakan di luar kilang untuk memastikan bahawa serangga di taman botani berdekatan tidak terganggu.
Di dalam kilang pula lampu limpah tidak dipasang terus pada lantai sebaliknya dihalakan ke atas dan menggunakan cermin memantulkan cahaya. Ia bukan saja mengurangkan kepanasan dalam kawasan kilang malah memberikan cahaya yang lebih terang dan berkualiti untuk kawasan kerja.
Sementara itu, sistem penghawa dingin untuk kawasan kerja di pasang pada lantai kawasan kerja kilang bagi memberikan kesan penyejukan yang maksimum tetapi dapat mengurangkan penggunaan tenaga yang mana ia hanya akan berfungsi jika lantai itu bergerak.
Satu lagi yang menarik, ketika berkesempatan melawat kilang itu baru-baru ini, penulis merasai sendiri bagaimana sistem automatik pengesan sinaran matahari kilang berfungsi. Tirai akan turun secara automatik apabila cahaya matahari masuk ke dalam kilang berdinding kaca itu.
Kesimpulannya, semua pembinaan kilang ini mengambil kira sensitiviti masyarakat dan alam sekeliling yang menjadikan satu binaan yang memang mengagumkan dan menjadi kebanggaan kepada Volkswagen dan automotif dunia.
Fakta Kilang Telus
Terletak di bahagian belakang kawasan pemasangan yang mengangkut barang dari tempat kargo di bahagian bawah bangunan. Robot memindahkan barang ke dalam bakul khas di dalam lif mengikuti casis setiap komponen kereta
Lebih daripada suku juta kaki persegi lantai di kilang ini menggunakan kayu maple Kanada. Kayu keras itu bukan saja mengurangkan keletihan pekerja ketika bekerja dalam kilang, ia juga membuat ruang kilang menyerupai sebuah muzium, cantik dan menarik.
Satu lagi cara untuk mengurangkan ketegangan pekerja adalah dengan menggunakan lampu limpah tidak menghala terus kepada pekerja atau kawasan tempat kerja.
Malah, dibina atap lutsinar yang membenarkan cahaya matahari menerangi kawasan kilang.
sumber : berita harian
No comments:
Post a Comment